Blog WhatsApp

WhatsApp sentiasa mengutamakan untuk menjadikan data dan komunikasi anda seselamat semungkin. Dan hari ini, kami bangga mengumumkan bahawa kami telah melengkapkan pembangunan teknologi yang menjadikan WhatsApp sebagai pemimpin dalam melindungi komunikasi peribadi anda: penyulitan hujung ke hujung yang lengkap. Mulai sekarang, apabila anda dan kenalan anda menggunakan versi aplikasi yang terkini, semua panggilan yang anda buat, semua mesej, foto, video, fail, dan mesej suara yang anda hantar, disulitkan hujung ke hujung secara lalai, termasuk grup sembang.

Ideanya mudah sahaja: apabila anda menghantar sebuah mesej, satu-satunya orang yang dapat membacanya ialah orang atau grup sembang ke mana anda menghantarkan mesej tersebut. Tiada sesiapa yang dapat melihat kandungan mesej tersebut. Bukan penjenayah siber. Bukan penggodam. Bukan rejim yang menindas. Bukan kami juga. Penyulitan hujung ke hujung membantu menjadikan komunikasi melalui WhatsApp lebih peribadi - hampir sama seperti perbualan bersemuka.

Jika anda berminat untuk mempelajari lebih mengenai cara bagaimana penyulitan hujung ke hujung berfungsi, anda boleh membaca mengenainya di sini. Tetapi anda hanya perlu mengetahui bahawa mesej penyulitan hujung ke hujung hanya boleh dibaca oleh penerima mesej tersebut. Dan jika anda menggunakan versi WhatsApp yang terkini, anda tidak perlu buat apa-apa untuk menyulitkan mesej anda: penyulitan hujung ke hujung diaktifkan secara lalai dan pada setiap masa.

Kita tinggal di dunia di mana lebih banyak data kita menjadi semakin digital. Setiap hari, kita membaca berita mengenai rekod sensitif dicuri atau diakses oleh pihak yang salah. Dan, jika tiada apa yang dibuat, dalam tahun-tahun yang akan datang, lebih banyak maklumat digital dan komunikasi orang akan diserang. Nasib baik, penyulitan hujung ke hujung melindungi kita daripada serangan ini.

Penyulitan adalah alat yang paling penting untuk kerajaan, syarikat, dan individu untuk mempromosi keselamatan dan sekuriti dalam zaman digital baru. Baru-baru ini terdapat banyak perbincangan mengenai perkhidmatan penyulitan dan kerja-kerja penguatkuasaan undang-undang. Sementara kami mengenal kepentingan kerja penguatkuasaan undang-undang dalam menjaga keselamatan orang, usaha untuk melemahkan penyulitan mendedahkan maklumat orang untuk penyalahgunaan oleh penjenayah siber, penggodam, dan negara-negara penyangak.

Sementara WhatsApp adalah antara segelintir platform komunikasi yang membina penyulitan hujung ke hujung lengkap yang aktif secara lalai untuk apa jua yang anda lakukan, kami berharap agar ia akan mewakili masa depan komunikasi peribadi.

Keinginan untuk melindungi komunikasi peribadi orang adalah antara kepercayaan teras yang berada di WhatsApp, dan untuk saya, ia peribadi. Saya telah membesar di USSR semasa pemerintahan komunis dan hakikat bahawa orang tidak bebas bercakap adalah salah satu sebab keluarga saya berpindah ke Amerika Syarikat.

Hari ini, lebih daripada satu bilion orang menggunakan WhatsApp untuk kekal berhubungan dengan rakan-rakan dan keluarga di seluruh dunia. Dan sekarang, setiap orang dapat bercakap dengan bebas dan selamat pada WhatsApp.

Jan dan Brian