15 Jun 2020
Kami teruja untuk mengumumkan bahawa mulai hari ini, kami akan memperkenalkan ciri pembayaran digital kepada pengguna WhatsApp di Brazil. Pengguna akan dapat mengirim wang dengan selamat atau membuat pembelian daripada perniagaan tempatan tanpa meninggalkan sembang mereka.
Lebih daripada 10 juta perniagaan kecil dan mikro memainkan peranan penting dalam masyarakat Brazil. Sudah menjadi kebiasaan untuk pengguna menghantar zap kepada perniagaan untuk mendapatkan jawapan kepada pertanyaan. Sekarang, selain melihat katalog kedai, pelanggan juga akan dapat membuat pembayaran produk. Proses pembayaran yang lebih mudah dapat membantu lebih banyak perniagaan menceburi ekonomi digital, sekali gus membuka peluang baharu untuk berkembang.
Di samping itu, kami membuatkan proses pengiriman wang kepada orang yang disayangi semudah menghantar mesej, yang kini menjadi satu ciri yang penting kerana individu kini berada dalam penjarakan sosial antara satu sama lain. Oleh sebab ciri pembayaran pada WhatsApp didayakan oleh Facebook Pay, pada masa akan datang kami ingin membolehkan individu dan perniagaan menggunakan maklumat kad yang sama pada seluruh kumpulan apl Facebook.
Kami telah membina ciri pembayaran dengan mengutamakan keselamatan. PIN enam digit khusus atau cap jari diperlukan untuk mengelakkan transaksi yang tidak dibenarkan. Sebagai permulaan, kami akan menyokong kad debit atau kredit daripada Banco do Brasil, Nubank dan Sicredi pada rangkaian Visa dan Mastercard -dan kami sedang bekerjasama dengan Cielo, pemproses pembayaran terkemuka di Brazil. Kami telah mewujudkan satu model terbuka untuk mengalu-alukan lebih banyak rakan kongsi pada masa hadapan.
Mengirim wang atau membuat pembelian di WhatsApp adalah percuma untuk orang ramai. Perniagaan akan membayar yuran pemprosesan untuk menerima pembayaran pelanggan, sama seperti pembayaran yang telah mereka buat sebelum ini apabila menerima transaksi kad kredit.
Ciri pembayaran pada WhatsApp akan mula dilancarkan kepada pengguna di seluruh Brazil mulai hari ini dan kami berharap dapat menyediakannya kepada semua pengguna pada masa hadapan.