WhatsApp dibina berdasarkan idea yang mudah: Perkara yang anda kongsikan dengan rakan dan keluarga anda kekal antara anda dengan penerima. Lima tahun yang lalu, kami telah menambahkan penyulitan hujung ke hujung secara lalai, yang pada hari ini, melindungi lebih 100 bilion mesej sehari yang dihantar sesama lebih 2 bilion pengguna.
Walaupun mesej disulitkan hujung ke hujung yang anda hantar dan terima tersimpan pada peranti anda, ramai orang juga mahukan cara untuk menyandarkan sembang mereka sekiranya mereka kehilangan telefon mereka. Mulai hari ini, kami menyediakan pilihan lapisan keselamatan tambahan untuk melindungi sandaran yang tersimpan pada Google Drive atau iCloud dengan penyulitan hujung ke hujung. Tidak ada perkhidmatan pemesejan global lain pada skala ini yang menyediakan tahap keselamatan begini untuk mesej, media, mesej suara, panggilan video dan sandaran sembang pengguna mereka.
Kini anda boleh menjamin keselamatan sandaran anda yang disulitkan hujung ke hujung menggunakan kata laluan pilihan anda atau kunci penyulitan 64 digit yang hanya anda sahaja yang tahu. WhatsApp mahupun penyedia perkhidmatan sandaran anda tidak akan boleh membaca sandaran anda atau mengakses kunci yang diperlukan untuk membuka sandaran tersebut.
Dengan jumlah pengguna yang melebihi 2 bilion, kami teruja untuk menyediakan lebih banyak pilihan kepada orang ramai bagi melindungi privasi mereka. Kami akan melancarkan ciri ini secara berperingkat kepada mereka yang mempunyai versi WhatsApp yang terkini. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang cara melindungi sandaran sembang anda dengan penyulitan hujung ke hujung pada iOS dan Android di sini, serta maklumat lanjut tentang cara kami membina sandaran di sini.