5 April 2016
WhatsApp sentiasa mengutamakan urusan menjadikan data dan komunikasi anda selamat yang mungkin. Hari ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah menyelesaikan pembangunan teknologi yang menjadikan WhatsApp peneraju dalam melindungi komunikasi peribadi anda: penyulitan hujung ke hujung penuh. Mulai sekarang, apabila anda dan kenalan anda menggunakan versi terkini aplikasi, setiap panggilan yang anda buat dan setiap mesej, foto, video, fail dan mesej suara yang anda hantar, disulitkan hujung ke hujung secara lalai, termasuk sembang kumpulan.
Idea ini mudah: apabila anda menghantar mesej, satu-satunya orang yang boleh membaca mesej ialah orang atau sembang kumpulan yang anda hantar mesej itu. Tiada sesiapa pun yang dapat melihat mesej itu. Begitu juga penjenayah siber. Begitu juga penggodam. Begitu juga rejim yang membuat penindasan. Malah, bukan kami. Penyulitan hujung ke hujung membantu dalam menjadikan komunikasi melalui WhatsApp peribadi – seperti perbualan bersemuka.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara penyulitan hujung ke hujung berfungsi, anda boleh membaca tentang perkara itudi sini. Anda cuma perlu tahu bahawa mesej yang disulitkan hujung ke hujung hanya boleh dibaca oleh penerima yang anda tujukan. Jika anda menggunakan versi terkini WhatsApp, anda tidak perlu melakukan apa-apa untuk menyulitkan mesej anda: penyulitan hujung ke hujung dihidupkan secara lalai dan sepanjang masa.
Kita tinggal dalam dunia yang data kita semakin banyak dalam bentuk digital. Setiap hari, kita melihat cerita tentang rekod sensitif yang diakses atau dicuri secara tidak wajar. Jika tiada tindakan dilakukan, lebih banyak maklumat dan komunikasi digital orang ramai akan terdedah kepada serangan pada tahun-tahun yang akan datang. Mujurlah, penyulitan hujung ke hujung melindungi kita daripada kelemahan ini.
Penyulitan ialah salah satu alat terpenting kerajaan, syarikat dan individu untuk meningkatkan keselamatan dan keterjaminan dalam era digital baharu. Baru-baru ini, terdapat banyak perbincangan tentang perkhidmatan yang disulitkan dan usaha penguatkuasaan undang-undang. Walaupun kita mengiktiraf langkah penting penguatkuasaan undang-undang dalam memastikan orang ramai selamat, usaha untuk melemahkan penyulitan berisiko mendedahkan maklumat orang ramai kepada penyalahgunaan oleh penjenayah siber, penggodam dan negara penyangak.
Walaupun WhatsApp adalah antara beberapa platform komunikasi yang membina penyulitan hujung ke hujung penuh yang dihidupkan secara lalai untuk segala perkara yang anda lakukan, kami menjangkakan bahawa pada akhirnya, WhatsApp akan mewakili masa depan komunikasi peribadi.
Keinginan untuk melindungi komunikasi peribadi orang ramai merupakan salah satu kepercayaan teras yang kami ada di WhatsApp, dan bagi saya, hal ini bersifat peribadi. Saya dibesarkan di USSR semasa pemerintahan komunis dan hakikat bahawa orang ramai tidak boleh bersuara dengan bebas ialah salah satu sebab keluarga saya berpindah ke Amerika Syarikat.
Hari ini, lebih daripada satu bilion orang menggunakan WhatsApp untuk kekal berhubung dengan rakan dan keluarga mereka di seluruh dunia. Malah kini, setiap orang daripada mereka boleh bersuara dengan bebas dan selamat di WhatsApp.
Jan dan Brian