Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai antara kita terasing daripada rakan dan keluarga. Kesannya, kita melihat semakin ramai orang di seluruh dunia beralih kepada panggilan suara dan video pada WhatsApp berbanding sebelumnya. Panggilan grup sangat berguna dan pengguna kami telah meminta untuk berhubung dengan lebih ramai orang sekali gus. Mulai hari ini, kami menggandakan jumlah peserta yang boleh anda hubungi dalam panggilan video atau suara WhatsApp, daripada 4 kepada 8 orang pada satu masa.
Sepanjang bulan lalu, rata-rata pengguna menghabiskan lebih dari 15 bilion minit bercakap setiap hari pada panggilan WhatsApp, jauh melebihi hari biasa sebelum berlakunya pandemik. Sama seperti mesej bertulis, semua panggilan tersebut dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung. Kami telah membina panggilan grup yang membuatkannya tersedia untuk seberapa ramai pengguna yang mungkin, termasuk orang yang menggunakan peranti kelas bawah dan keadaan rangkaian yang perlahan.
Kami tahu bahawa orang mungkin menginginkan cara yang berbeza untuk berhubung semasa mereka berada di rumah, sebab itulah WhatsApp juga tersedia pada Portal — yang ramai pengguna telah memberitahu kami bahawa ia merupakan cara yang terbaik untuk berkongsi kehidupan mereka dengan keluarga semasa kuarantin.
Untuk mengakses had peserta baharu yang lebih ramai pada panggilan WhatsApp, semua peserta dalam panggilan perlu mengemas kini kepada versi WhatsApp terkini yang tersedia pada iPhone atau Android hari ini. Ajak rakan dan keluarga anda mengemas kini WhatsApp untuk mencubanya.
Berbilion pelekat dihantar setiap hari melalui WhatsApp, membantu individu melahirkan perasaan dan ungkapan peribadi tanpa menaip sebarang perkataan. Sejak kami melancarkan pelekat 18 bulan lalu, ia telah menjadi salah satu cara individu berkomunikasi di WhatsApp yang berkembang dengan pantas.
Kami teruja untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam melancarkan pek pelekat "Bersama-sama di Rumah" yang akan membantu individu kekal berhubung sepanjang pandemik COVID-19 dan seterusnya. Pelekat seperti ini boleh jadi melucukan, mendidik dan universal. Merentasi segala bahasa, umur dan halangan lain.
Kami harap para pengguna suka menggunakan pelekat ini untuk bertanyakan khabar orang yang mereka sayangi, terutamanya mereka yang merasa tersisih, keseorangan dan takut. Pek ini menawarkan cara kreatif untuk mengingatkan individu supaya membasuh tangan mereka, mengekalkan penjarakan dan yang paling penting meraikan wira perubatan serta wira peribadi dalam hidup kita.
Pek pelekat "Bersama-sama di Rumah" kini tersedia dalam WhatsApp, dengan teks yang diterjemahkan dalam 9 bahasa - Arab, Indonesia, Itali, Jerman, Perancis, Portugis, Rusia, Sepanyol dan Turki.
Dengan berbilion orang tidak dapat menemui rakan dan keluarga mereka secara bersemuka disebabkan oleh COVID-19, mereka semakin bergantung kepada WhatsApp untuk berkomunikasi. Orang ramai bercakap dengan doktor, guru dan orang tersayang yang diasingkan melalui WhatsApp semasa krisis ini. Itulah sebabnya semua mesej dan panggilan anda di WhatsApp disulitkan hujung ke hujung secara lalai untuk memberi anda ruang yang selamat untuk perbualan anda yang paling peribadi.
Tahun lepas, kami telah memperkenalkan pengguna kepada konsep mesej yang telah dimajukan berkali-kali. Mesej-mesej ini dilabelkan dengan anak panah berganda
Sebagai perkhidmatan pemesejan peribadi, kami telah mengambil beberapa langkah selama bertahun-tahun untuk membantu mengekalkan kemesraan perbualan. Sebagai contoh, sebelum ini kami telah menetapkan had pada mesej yang dimajukan untuk membataskan penyebaran maklumat. Pada masa tersebut, kami melihat penurunan sebanyak 25% dalam bilangan mesej yang dimajukan secara keseluruhan.
Adakah semua pemajuan tidak baik? Sudah tentu tidak. Kami tahu ramai pengguna memajukan maklumat yang berguna dan juga video lucu, mimik serta buah fikiran atau doa yang mereka dapati bermakna. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, orang ramai juga menggunakan WhatsApp untuk mengatur detik umum sebagai sokongan kepada petugas kesihatan barisan depan. Walau bagaimanapun, kami telah melihat peningkatan yang ketara dalam bilangan pemajuan yang menurut para pengguna, boleh menjadi keterlaluan dan boleh menyumbang kepada penyebaran maklumat salah. Kami percaya bahawa penting untuk kami memperlahankan penyebaran mesej ini agar WhatsApp kekal menjadi tempat perbualan peribadi.
Sebagai tambahan kepada perubahan ini, kami bekerjasama secara langsung dengan NGO dan kerajaan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan lebih daripada 20 kementerian kesihatan negara untuk membantu menghubungkan orang ramai dengan maklumat yang tepat. Bersama-sama, pihak berkuasa yang dipercayai ini telah menghantar beratus juta mesej secara terus kepada orang ramai yang meminta maklumat dan nasihat. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang usaha ini, serta cara melaporkan potensi mitos, tipu helah dan khabar angin kepada organisasi pemeriksa fakta, di Hab Maklumat Koronavirus kami.
Kami percaya bahawa sekarang orang semakin perlu berhubung secara peribadi. Pasukan kami bekerja keras untuk memastikan WhatsApp berfungsi dengan baik semasa krisis global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami akan terus mendengar maklum balas anda dan memperbaiki cara orang ramai boleh berkongsi maklumat antara satu sama lain di WhatsApp.
Kami teruja untuk mengemas kini WhatsApp dengan ciri yang paling diminta oleh para pengguna kami di mana-mana - mod gelap.
Mod gelap untuk WhatsApp menawarkan penampilan baharu dengan pengalaman biasa. Ia direka bentuk untuk mengurangkan ketegangan mata dalam persekitaran yang malap. Dan kami berharap ia akan menghindari saat janggal apabila telefon anda memancarkan cahaya di dalam bilik.
Semasa mereka bentuk mod gelap, kami telah meluangkan masa membuat penyelidikan dan mengkaji dengan memberikan tumpuan kepada dua bidang khusus:
Kebolehbacaan: Apabila memilih warna, kami ingin meminimumkan keletihan mata dan menggunakan warna yang hampir serupa dengan lalai sistem pada iPhone dan Android.
Hierarki Maklumat: Kami mahu membantu pengguna memberikan tumpuan kepada setiap skrin dengan mudah. Kami melakukan ini dengan menggunakan warna dan unsur reka bentuk lain bagi memastikan maklumat paling penting terserlah.
Pengguna yang menggunakan Android 10 dan iOS 13 boleh menggunakan mod gelap dengan mendayakannya dalam tetapan sistem. Pengguna yang menggunakan Android 9 dan lebih lama boleh pergi ke Tetapan WhatsApp > Sembang > Tema > pilih ‘Gelap’.
Kami berharap semua orang akan menyukai mod gelap, yang akan dikeluarkan dalam beberapa hari akan datang pada versi terkini WhatsApp.
Kami teruja untuk berkongsi bahawa, pada hari ini, WhatsApp menyokong lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia.
Ibu dan bapa boleh berhubung dengan orang yang tersayang di mana-mana jua mereka berada. Adik-beradik boleh berkongsi saat-saat penting. Rakan sekerja boleh bekerjasama dan perniagaan boleh berkembang dengan berhubung dengan pelanggan mereka secara mudah.
Perbualan peribadi yang pernah seketika dahulu hanya dapat dilakukan secara bersemuka kini boleh dilakukan melalui jarak jauh dengan sembang segera dan panggilan video. Terdapat begitu banyak saat-saat penting dan istimewa yang berlaku di WhatsApp dan kami merendah diri dan berbangga untuk mencapai kejayaan ini.
Kita tahu bahawa semakin kita berhubung, lebih banyak yang perlu kita lindungi. Apabila kita menjalani lebih banyak kehidupan kita secara dalam talian, melindungi perbualan kita adalah lebih penting daripada sebelum ini.
Itulah sebabnya setiap mesej peribadi yang dihantar menggunakan WhatsApp dijamin dengan penyulitan hujung ke hujung secara lalai. Penyulitan kuat bertindak seperti kunci digital yang tidak dapat dipecahkan yang memastikan maklumat yang anda hantar melalui WhatsApp dijamin, membantu melindungi anda daripada penggodam dan penjenayah. Mesej hanya disimpan pada telefon anda dan tiada sesiapa yang boleh membaca mesej anda atau mendengar panggilan anda, begitu juga kami. Perbualan peribadi anda kekal antara anda.
Penyulitan kuat adalah keperluan dalam kehidupan moden. Kami tidak akan berkompromi tentang keselamatan kerana itu akan menjadikan orang kurang selamat. Untuk perlindungan yang lebih, kami bekerjasama dengan pakar keselamatan terkenal, menggunakan teknologi terkemuka industri untuk menghentikan penyalahgunaan serta menyediakan kawalan dan cara untuk melaporkan isu - tanpa mengorbankan privasi.
WhatsApp bermula dengan matlamat untuk mewujudkan perkhidmatan yang mudah, boleh dipercayai dan peribadi untuk digunakan oleh orang ramai. Hari ini kita tetap komited seperti ketika kami bermula, untuk membantu menghubungkan dunia secara peribadi dan untuk melindungi komunikasi peribadi dua bilion pengguna di seluruh dunia.
Orang suka bersembang di WhatsApp dengan perniagaan kecil kegemaran mereka. Tetapi tindakan bertukar berbilang mesej dan gambar untuk mendapatkan maklumat produk amat remeh. Dengan memperkenalkan katalog dalam apl WhatsApp Business, kami membuatkannya mudah untuk mengetahui tentang benda produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan.
Katalog adalah muka kedai mudah alih untuk perniagaan memaparkan dan berkongsi produk atau perkhidmatan mereka agar individu boleh dengan mudah melayari dan menemui sesuatu yang ingin mereka beli. Sebelum ini, perniagaan terpaksa menghantar gambar produk satu per satu dan berulang kali memberikan maklumat produk. Kini pelanggan boleh melihat katalog perniagaan terus daripada WhatsApp. Ini membuatkan pemilik perniagaan tampil lebih profesional dan dapat kekal berhubung dengan pelanggan dalam sembang tersebut tanpa perlu melayari laman web.
Contohnya Agradaya, sebuah perniagaan mampan yang menjual herba dan rempah ratus di Indonesia. Kami telah memberi pengasas Agradaya, Andhika Mahardika capaian awal kepada ciri katalog dan beliau memaklumkan kepada kami bahawa ini membuatkan pelanggan lebih mudah mengetahui tentang produk mereka, mengetahui harga dan melihat imej produk yang mereka tawarkan. Ini merupakan satu ciri penting untuk pengalaman pengguna yang lebih baik.
Untuk setiap item dalam katalog, sebuah perniagaan boleh menambahkan maklumat merangkumi harga, penerangan dan kod produk. WhatsApp mengehos katalog berikut untuk menjimat ruang storang yang berharga pada telefon pelanggan dan juga perniagaan.
Mencipta katalog menggunakan apl WhatsApp Business hanya mengambil beberapa langkah mudah. Tonton video ini untuk bermula:
Ciri katalog kini tersedia untuk perniagaan yang menggunakan apl WhatsApp Business pada Android dan iPhone di Brazil, Jerman, India, Indonesia, Mexico, U.K. dan A.S. Ia akan dikeluarkan ke seluruh dunia tidak lama lagi. Kami ingin mendengar cerita katalog membantu perniagaan kecil berhubung dengan pelanggan mereka dan berkembang.
7 November 2019
Awal tahun ini, kami telah memperkenalkan ID Sentuh dan ID Muka untuk iPhone bagi memberikan lapisan keselamatan tambahan untuk pengguna WhatsApp. Hari ini, kami memperkenalkan sistem pengesahan yang serupa yang membenarkan anda membuka kunci apl menggunakan cap jari anda pada telefon Android yang disokong. Untuk mendayakannya, ketik Tetapan > Akaun > Privasi > Kunci cap jari. Hidupkan Buka kunci dengan cap jari dan sahkan cap jari anda.
Grup WhatsApp kekal menghubungkan keluarga, rakan, rakan sekerja, rakan sekelas dan lain-lain. Dalam masa ramai yang menggunakan grup untuk perbualan penting, para pengguna telah meminta agar mereka diberikan lebih banyak kawalan atas penggunaan mereka. Hari ini, kami memperkenalkan tetapan privasi baharu dan sistem jemputan untuk membantu anda memutuskan individu yang boleh memasukkan anda ke grup.
Untuk mendayakan ia, pergi ke Tetapan dalam aplikasi anda, kemudian ketik Akaun > Privasi > Grup dan pilih salah satu daripada tiga opsyen: “Semua Orang,” “Kenalan Saya” atau “Kenalan Saya Kecuali.” “Kenalan Saya” bermaksud hanya pengguna yang ada pada buku alamat anda boleh memasukkan anda ke grup. “Kenalan Saya Kecuali” memberikan kawalan tambahan individu antara kenalan anda yang boleh memasukkan anda ke grup.
Dalam kes yang sedemikian, pentadbir yang tidak boleh memasukkan anda ke grup akan diprom untuk menghantar jemputan peribadi melalui sembang individu, memberi anda pilihan untuk menyertai grup tersebut. Anda mempunyai tiga hari untuk menerima jemputan tersebut sebelum ia tamat tempoh.
Dengan ciri baharu berikut, pengguna akan mempunyai lebih kawalan atas mesej grup yang mereka terima. Tetapan privasi baharu ini akan mula dikeluarkan kepada sesetengah pengguna bermula hari ini dan akan tersedia di seluruh dunia dalam hari-hari akan datang untuk mereka yang menggunakan WhatsApp versi terkini.
KEMAS KINI: Berdasarkan maklum balas daripada pengguna semasa keluaran awal kami, opsyen “Kenalan Saya Kecuali” kini menggantikan opsyen “Tiada Sesiapa”. Ini membenarkan anda untuk memilih sama ada untuk mengecualikan kenalan tertentu atau “pilih semua”. Pengemaskinian ini dikeluarkan kepada pengguna di seluruh dunia pada WhatsApp versi terkini.
Kemas Kini Terakhir: 5 November 2019
Salah satu permintaan yang kerap kami terima daripada pemilik perniagaan kecil adalah bahawa mereka mahu menggunakan aplikasi WhatApp Business pada peranti pilihan mereka.
Sekarang mereka boleh.
Hari ini kami memperkenalkan aplikasi WhatsApp Business untuk iOS. Seperti versi Android yang sejak setahun yang lepas telah digunakan oleh berjuta perniagaan di merata dunia, aplikasi WhatsApp Business untuk iOS adalah percuma untuk dimuat turun daripada Apple App Store dan akan merangkumi ciri yang membantu perniagaan kecil dan para pelanggan berkomunikasi. Ini termasuk:
Aplikasi WhatsApp Business kini tersedia dan percuma untuk dimuat turun daripada App Store di Brazil, Jerman, Indonesia, India, Mexico, U.K. dan A.S. Aplikasi tersebut akan dikeluarkan ke seluruh dunia dalam minggu-minggu akan datang.
Sama ada kedai gula-gula dalam talian di Ribeirão Preto, Brazil yang menjalankan 60 peratus daripada jualannya melalui WhatsApp Business atau syarikat roti kulit kayu manis di Tijuana, Mexico yang telah menyatakan penghargaan mereka terhadap WhatsApp Business kerana membolehkan mereka membuka lokasi kedua, pemilik perniagaan kecil di merata dunia menggunakan aplikasi tersebut untuk berkembang. Kami teruja membawakan aplikasi WhatsApp Business kepada perniagaan yang lebih kecil lagi dan mendengar kisah baharu tentang cara aplikasi ini membantu mereka berjaya.
Sudah 10 tahun semenjak kami memulakan WhatsApp! Selama satu dekad yang lalu, kami telah mendengar individu di seluruh dunia menggunakan WhatsApp untuk kekal berhubung dengan orang yang mereka kasihi, berhubung dengan komuniti dan membina perniagaan. Kisah-kisah ini terus memberi kami inspirasi, dan untuk meraikan peristiwa penting ini, kami lihat kembali saat-saat penting kami sepanjang dekad tersebut.
Kami teruja untuk terus membina ciri yang membuatkan WhatsApp lebih mudah dan dipercayai untuk semua. Terima kasih kepada semua pengguna kami di seluruh dunia kerana menyertai kami melalui perjalanan ini!