Kami teruja mengumumkan bahawa panggilan suara dan video seorang ke seorang secara peribadi dan selamat kini tersedia pada aplikasi desktop WhatsApp.
Sepanjang tahun lalu, kami melihat peningkatan yang ketara dalam bilangan panggilan individu di WhatsApp, selalunya untuk perbualan yang panjang. Malam Tahun Baru yang lalu, kami telah memecahkan rekod untuk panggilan terbanyak yang pernah dibuat dalam satu hari iaitu 1.4 bilion panggilan suara dan video. Ramai orang yang masih terpisah daripada orang yang mereka sayangi, dan sedang menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu, maka kami mahukan perbualan di WhatsApp seumpama anda bersemuka, tidak kira lokasi anda berada di dunia atau peranti yang anda gunakan.
Menjawab panggilan pada skrin yang lebih besar menjadikan ia lebih mudah untuk bekerja dengan rakan sekerja, melihat keluarga anda dengan lebih jelas di layar yang lebih besar atau bebas bergerak semasa bercakap kerana tidak perlu memegang telefon. Untuk menjadikan panggilan desktop lebih berguna, kami memastikan ia berfungsi dengan lancar untuk orientasi potret dan landskap, muncul dalam tetingkap kendiri yang boleh disaiz semula pada skrin komputer anda, dan ditetapkan agar selalu berada di bahagian atas supaya anda tidak akan kehilangan sembang video anda dalam tab pelayar atau timbunan tetingkap yang dibuka.
Panggilan suara dan video di WhatsApp disulitkan hujung ke hujung, maka WhatsApp tidak dapat mendengar atau melihatnya, sama ada anda menghubungi daripada telefon ataupun komputer anda. Kami bermula dengan panggilan seorang ke seorang pada aplikasi desktop WhatsApp supaya kami boleh memberikan anda pengalaman yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi. Kami akan mengembangkan ciri ini untuk menyertakan ciri panggilan suara dan video grup pada masa akan datang.
Kami berharap pengguna menikmati panggilan desktop secara peribadi dan selamat dengan rakan-rakan dan keluarga mereka. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut, termasuk cara memuat turun aplikasi desktop pada Windows PC dan Mac di sini.
Hari ini kami berkongsi rancangan yang telah dikemas kini tentang cara kami meminta pengguna WhatsApp untuk menyemak terma perkhidmatan dan dasar privasi kami. Kami telah menemui banyak maklumat salah yang disebarkan tentang pengemaskinian ini dan kami terus bekerja keras untuk menerangkan sebarang kekeliruan.
Sebagai peringatan, kami sedang membina cara baharu untuk bersembang atau membeli belah dengan perniagaan melalui WhatsApp. Ciri ini secara keseluruhannya adalah opsyenal. Mesej peribadi akan sentiasa disulitkan hujung ke hujung, jadi WhatsApp tidak dapat membaca atau mendengarnya.
Kami telah membuat perubahan kepada perkara yang boleh kami perbaiki. Kami ingin semua orang mengetahui sejarah kami dalam mempertahankan penyulitan hujung ke hujung dan yakin bahawa kami komited untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna. Kami kini menggunakan ciri Status kami untuk berkongsi nilai dan pengemaskinian kami secara langsung dalam WhatsApp. Kami akan berusaha untuk memastikan maklumat yang kami sampaikan jelas di masa hadapan.
Dalam beberapa minggu yang akan datang, kami akan memaparkan sepanduk di WhatsApp yang akan memberikan lebih banyak maklumat yang dapat dibaca oleh pengguna pada masa yang sesuai. Kami juga telah menyertakan lebih banyak maklumat untuk cuba mengatasi kebimbangan pengguna. Akhir sekali, kami akan mula mengingatkan pengguna untuk menyemak dan menerima pengemaskinian ini untuk terus menggunakan WhatsApp.
Kami juga berpendapat bahawa penting untuk pengguna mengetahui cara kami menyediakan WhatsApp secara percuma. Setiap hari, berjuta-juta pengguna memulakan sembang WhatsApp dengan perniagaan kerana cara ini adalah lebih mudah daripada membuat panggilan telefon atau berbalas e-mel. Kami mengenakan caj kepada perniagaan untuk menyediakan khidmat pelanggan di WhatsApp - bukan kepada pelanggan. Beberapa ciri membeli-belah melibatkan Facebook, jadi perniagaan dapat mengurus inventori mereka merentasi aplikasi. Kami memaparkan lebih banyak maklumat secara langsung di WhatsApp supaya pengguna dapat memilih sama ada mereka ingin berhubung dengan perniagaan ataupun tidak.
Pada masa ini, kami faham bahawa sesetengah orang mungkin menerokai perkhidmatan yang ditawarkan oleh aplikasi lain. Kami telah melihat sebilangan pesaing kami berusaha mengelak daripada menyatakan bahawa mereka tidak dapat melihat mesej pengguna - jika aplikasi tidak menawarkan penyulitan hujung ke hujung secara lalai, ini bermaksud mereka dapat membaca mesej anda. Aplikasi lain mendakwa bahawa mereka lebih baik kerana mereka menyimpan kurang maklumat berbanding WhatsApp. Kami percaya orang ramai menginginkan aplikasi yang boleh dipercayai dan selamat, walaupun itu memerlukan WhatsApp menyimpan data yang terhad. Kami berusaha untuk sentiasa berhati-hati dengan keputusan yang kami buat dan kami akan terus membangunkan cara baharu untuk memenuhi tanggungjawab ini dengan maklumat yang kurang, bukan lebih.
Kami sangat menghargai semua orang yang telah membantu kami menangani kebimbangan dan sentiasa bersedia untuk menjawab sebarang pertanyaan. Kami tidak berhenti membangunkan WhatsApp untuk tahun 2021 dan teruja untuk berkongsi lebih banyak lagi ciri dalam beberapa minggu dan bulan yang akan datang.
Kami telah mendengar daripada ramai orang tentang kekeliruan berkaitan pengemaskinian terkini kami. Terdapat banyak maklumat salah yang menyebabkan kebimbangan dan kami ingin membantu pengguna memahami dasar kami serta faktanya.
WhatsApp telah dibina berdasarkan idea mudah: Perkara yang anda kongsikan dengan rakan dan keluarga anda kekal antara anda dengan penerima. Ini bermakna kami akan sentiasa melindungi perbualan peribadi anda dengan penyulitan hujung ke hujung, jadi WhatsApp mahupun Facebook tidak dapat melihat mesej peribadi tersebut. Oleh sebab itu, kami tidak menyimpan log penghantaran mesej atau panggilan yang dibuat oleh pengguna. Kami juga tidak dapat melihat lokasi yang anda kongsikan dan tidak berkongsi kenalan anda dengan Facebook.
Dengan pengemaskinian ini, tiada apa-apa perkara yang berubah. Sebaliknya, pengemaskinian ini termasuk pilihan baharu yang membolehkan pengguna menghantar mesej kepada perniagaan di WhatsApp, dan juga pengemaskinian yang memberikan kejelasan tentang cara kami mengumpul dan menggunakan data. Walaupun tidak semua orang membeli-belah dengan perniagaan di WhatsApp hari ini, kami berpendapat bahawa lebih ramai orang akan memilih untuk berbuat demikian di masa akan datang, maka penting untuk orang mengetahui tentang perkhidmatan ini. Pengemaskinian ini tidak meluaskan keupayaan kami untuk berkongsi data dengan Facebook.
Kami memanjangkan lagi tempoh pengguna diminta untuk menyemak dan menerima terma tersebut. Tiada akaun yang akan digantung atau dipadam pada 8 Februari. Kami juga akan melakukan lebih banyak perkara untuk menjelaskan maklumat salah tentang cara privasi dan keselamatan berfungsi di WhatsApp. Kami kemudian akan meminta pengguna untuk menyemak semula dasar tersebut pada masa yang sesuai sebelum pilihan perniagaan baharu tersedia pada 15 Mei.
WhatsApp membantu membawa penyulitan hujung ke hujung kepada pengguna di seluruh dunia dan kami komited untuk mempertahankan teknologi keselamatan ini pada masa sekarang dan masa depan. Terima kasih kepada pengguna yang telah menghubungi kami dan kepada semua yang telah membantu menyebarkan fakta dan menghentikan khabar angin. Kami akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjadikan WhatsApp sebagai kaedah terbaik untuk berkomunikasi secara peribadi.
WhatsApp kini pantas menjadi kaunter gedung untuk membincangkan produk dan menyelaraskan jualan. Katalog membenarkan pengguna melihat produk yang tersedia dengan cepat dan membantu perniagaan mengurus sembang mereka bagi item tertentu. Dengan semakin banyak aktiviti membeli-belah berlaku melalui sembang, kami ingin menjadikan proses jual beli lebih mudah.
Bermula hari ini, kami teruja untuk membawakan kart pada WhatsApp. Kart adalah hebat apabila menghantar mesej kepada perniagaan yang biasanya menjual berbilang item sekali gus, seperti restoran tempatan atau gedung pakaian. Dengan kart, pengguna boleh menyemak lalu katalog, memilih berbilang produk dan menghantar pesanan dalam satu mesej kepada perniagaan. Ini akan menjadikannya lebih mudah bagi perniagaan untuk menjejak pertanyaan pesanan, mengurus permintaan daripada pelanggan dan membuat jualan.
Sebagai contoh, Agradaya, perniagaan herba dan rempah yang kukuh di Yogyakarta, Indonesia mendapat akses awal kepada fungsi kart dan memberitahu kami bahawa kart adalah cara yang mudah untuk memahami pesanan pelanggan tanpa perlu komunikasi yang berulang-alik.
Menggunakan kart adalah mudah. Hanya cari item yang anda inginkan dan ketik "tambahkan pada kart". Sebaik sahaja kart anda sudah diisi, hantarkannya sebagai mesej kepada perniagaan. Maklumat lanjut tentang penggunaan kart boleh didapati di sini.
Kart akan dilancarkan di seluruh dunia hari ini -- selaras dengan musim percutian. Selamat membeli-belah di WhatsApp!
Bermula hari ini, individu di seluruh India akan dapat menghantar wang melalui WhatsApp. Pengalaman pembayaran yang dijamin ini membuatkan pemindahan wang semudah menghantar mesej. Individu dapat mengirim wang dengan selamat kepada ahli keluarga atau berkongsi harga barang dari jarak jauh tanpa perlu membuat bayaran tunai secara langsung atau pergi ke bank tempatan.
WhatsApp bekerjasama dengan National Payments Corporation of India (NPCI) dalam mereka bentuk ciri pembayaran menggunakan Unified Payment Interface (UPI), satu sistem pembayaran masa nyata yang pertama di India yang mendayakan transaksi dengan lebih daripada 160 bank yang disokong. Kami teruja untuk menyertai kempen di India untuk meningkatkan kemudahan dan penggunaan pembayaran digital, yang membantu mengembangkan perangkuman kewangan di India.
Untuk menghantar wang melalui WhatsApp di India, pengguna perlu mempunyai akaun dan kad debit bank India. WhatsApp akan menghantar arahan kepada bank, juga dikenali sebagai pembekal khidmat pembayaran, yang akan membuat pemindahan wang tersebut melalui UPI antara akaun bank penghantar kepada penerima. Kami teruja untuk bekerjasama dengan lima bank utama di India: Bank ICICI, Bank HDFC, Bank Axis, Bank Negara India dan Bank Jio Payments. Individu boleh mengirim wang melalui WhatsApp kepada sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi yang disokong UPI.
Dalam jangka masa panjang, kami yakin gabungan antara WhatsApp dan struktur unik UPI dapat membantu organisasi tempatan menangani beberapa cabaran utama masa kini, termasuk meningkatkan penyertaan luar bandar dalam ekonomi digital dan memberikan perkhidmatan kewangan kepada mereka yang tidak pernah mendapat akses sebelum ini.
Sama seperti ciri lain dalam WhatsApp, ciri pembayaran direka bentuk dengan asas keselamatan dan privasi yang kukuh, termasuk memasukkan PIN UPI peribadi untuk setiap pembayaran. Pembayaran di WhatsApp kini tersedia untuk pengguna yang menggunakan aplikasi iPhone dan Android versi terkini.
Hari ini, mesej WhatsApp sering kekal di telefon kita selama-lamanya. Walaupun bagus untuk kita menyimpan kenangan daripada rakan-rakan dan keluarga, kebanyakan mesej yang kita hantar tidak perlu kekal.
Matlamat kami adalah untuk menjadikan perbualan di WhatsApp seumpama anda bersemuka, yang bermakna perbualan tersebut tidak perlu kekal dalam WhatsApp. Itulah sebabnya kami teruja dalam memperkenalkan pilihan untuk menggunakan ciri mesej menghilang pada WhatsApp.
Apabila ciri mesej menghilang dihidupkan, mesej baharu yang dihantar kepada sembang akan hilang selepas 7 hari, membuatkan jaluran perbualan lebih ringan dan lebih peribadi. Dalam sembang satu dengan satu, mana-mana individu boleh menghidupkan atau mematikan ciri mesej menghilang. Dalam grup, pentadbir akan mempunyai kawalan.
Kami bermula dengan 7 hari kerana kami berpendapat bahawa apabila sesuatu perbualan itu tidak kekal, di samping praktikal ia memberikan ketenangan minda supaya anda tidak melupakan perkara yang telah anda bualkan. Senarai beli-belah atau alamat gedung yang anda terima beberapa hari yang lalu akan ada ketika anda memerlukannya dan kemudian hilang selepas itu. Anda boleh membaca lebih lanjut, termasuk cara mendayakan ciri mesej menghilang di sini.
Kami berharap orang ramai akan menyukai ciri mesej menghilang, yang akan dikeluarkan kepada pengguna di mana-mana sahaja pada bulan ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat peningkatan yang ketara terhadap penggunaan aplikasi pemesejan untuk komunikasi peribadi, dan semakin ramai juga orang bergantung pada WhatsApp untuk menjalankan perniagaan.
Banyak cara lama yang melibatkan komunikasi antara individu dan perniagaan adalah tidak berkesan. Walaupun perniagaan membelanjakan berbilion dolar setiap tahun untuk mengurus panggilan telefon, e-mel dan SMS, pengguna tidak mahu menunggu lama dalam talian, disambungkan dari seorang ke seorang atau tertanya-tanya sama ada mesej mereka sudah diterima.
Pandemik global telah membuktikan bahawa perniagaan memerlukan cara yang cepat dan cekap dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan mereka dan membuat jualan. WhatsApp telah menjadi sumber yang ringkas dan mudah pada masa ini. Lebih daripada 175 juta orang menghantar mesej kepada akaun WhatsApp Business setiap hari. Kajian kami menunjukkan bahawa pengguna lebih suka menghantar mesej kepada perniagaan untuk mendapatkan bantuan dan mereka lebih berkemungkinan untuk membuat pembelian apabila mereka boleh berbuat sedemikian.
Namun, ada banyak lagi yang perlu kami bangunkan. Sejak dua tahun lalu, kami telah menyediakan aplikasi WhatsApp Business dan API WhatsApp Business untuk membantu perniagaan pelbagai saiz dalam mengurus sembang mereka. Kami telah mendengar maklum balas anda tentang perkara yang berkesan dan percaya WhatsApp boleh membantu menjadikan pemesejan cara yang terbaik bagi pengguna dan perniagaan untuk berhubung. Sebab itu, kami akan meningkatkan pelaburan kami dalam bahagian yang berikut:
Kami tahu bahawa kebanyakan pengguna akan terus menggunakan WhatsApp hanya untuk berkomunikasi dengan rakan dan keluarga, sebab itulah kami akan terus membangunkan ciri baharu yang hebat dan melindungi perbualan peribadi pengguna.
Kami percaya bahawa pengalaman tambahan di WhatsApp ini, memenuhi keperluan bagi ramai individu dan perniagaan tidak kira mereka dekat atau jauh. Kami teruja dengan ciri yang bakal disediakan dan kami akan melancarkan perkhidmatan ini secara berperingkat dalam bulan-bulan akan datang.
WhatsApp menyediakan label khas yang dimajukan untuk mesej yang dikongsikan dalam sembang yang telah dimajukan banyak kali. Dua anak panah berikut
Hari ini, kami menguji cara yang mudah untuk menyemak semula mesej ini dengan mengetik pada butang kanta pembesar dalam sembang. Menyediakan cara yang mudah untuk mencari mesej yang telah dimajukan banyak kali mungkin membantu individu mencari hasil berita atau sumber maklumat lain tentang kandungan yang telah mereka terima.
Ciri ini berfungsi dengan membenarkan pengguna memuat naik mesej melalui pelayar mereka tanpa WhatsApp dapat melihat itu.
Carian di web sedang dilancarkan bermula hari ini di Brazil, Itali, Ireland, Mexico, Sepanyol, UK dan AS untuk mereka yang menggunakan WhatsApp versi terkini untuk Android, iOS dan WhatsApp Web.
Ketika perniagaan di seluruh dunia bersiap sedia untuk membuka semula dan mengembangkan pasaran secara dalam talian, pengguna memerlukan cara mudah untuk berhubung dengan perniagaan untuk mengemukakan soalan, mendapatkan maklumat atau mencari sesuatu yang mungkin ingin mereka dapatkan.
Hari ini kami menyokong lebih daripada 50 juta pengguna aplikasi WhatsApp Business. Untuk membantu mereka dan ribuan perniagaan yang lebih besar di API WhatsApp Business dikenali, kami memperkenalkan ciri baharu untuk memulakan sembang dengan perniagaan melalui WhatsApp dan melihat barang serta perkhidmatan yang mereka tawarkan.
Memulakan sembang dengan perniagaan menggunakan kod QR
Kod QR adalah pintu utama digital yang menjadikan permulaan sembang dengan perniagaan semudah mungkin. Sebelum ini, apabila pengguna menemui perniagaan yang menarik, mereka perlu menambahkan nombor WhatsApp perniagaan tersebut pada senarai kenalan mereka, satu demi satu. Kini, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh perniagaan di kedainya, bungkusan produk atau resit untuk memulakan sembang.
Contohnya, Ki Mindful Wearing, jenama pakaian sukan di Brazil yang membantu kami menguji ciri tersebut, meletakkan kod QR pada bungkusan dan tanda produk untuk mengajak pelanggan menghubungi mereka untuk mendapatkan sokongan di WhatsApp.
Mengimbas kod QR akan membuka sembang dengan mesej opsyenal yang sudah dipraisi, yang dicipta oleh perniagaan untuk memulakan sembang. Dengan alat pemesejan aplikasi, perniagaan dapat menghantar kembali maklumat, seperti katalog mereka dengan cepat untuk memulakan perbualan. Untuk mula menggunakan kod QR, perniagaan boleh mengikuti langkah cepat ini.
Mulai hari ini, kod QR tersedia untuk perniagaan di seluruh dunia yang menggunakan aplikasi WhatsApp Business atau API WhatsApp Business.
Perkongsian katalog untuk mengetahui produk yang ditawarkan oleh perniagaan
Katalog membolehkan perniagaan mempamerkan dan berkongsi barang atau perkhidmatan yang ditawarkan, yang dapat membantu mereka membuat jualan. Sejak dilancarkan tahun lalu, katalog telah menjadi cara yang popular bagi pengguna untuk berhubung dengan perniagaan di WhatsApp. Bahkan, lebih daripada 40 juta orang melihat katalog perniagaan di WhatsApp setiap bulan.
Untuk memudahkan orang menemui produk, kami membuatkan katalog dan sesuatu item tersedia untuk dikongsikan sebagai pautan di laman web, Facebook, Instagram dan lain-lain. Dan jika orang ingin berkongsi katalog atau item yang mereka temui dengan rakan atau keluarga, mereka hanya perlu menyalin pautan dan menghantarnya melalui WhatsApp atau aplikasi lain.
Pautan katalog tersedia di seluruh dunia dan perniagaan boleh mengetahui cara berkongsinya di sini.
Walaupun perjalanan untuk perniagaan masih jauh dan mencabar, dalam masa mereka menyesuaikan diri dengan realiti baru, kami berharap dapat menyokong mereka.
WhatsApp telah digunakan dan disukai oleh lebih daripada 2 bilion pengguna di seluruh dunia. Walaupun fokus kami kekal pada penyediaan cara yang mudah, boleh dipercayai dan peribadi untuk pengguna bersembang dengan rakan dan keluarga - kami juga terus mendorong reka bentuk produk kami bagi memastikan WhatsApp tetap menjadi kaedah yang paling berguna untuk sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja untuk berhubung.
Hari ini, kami teruja untuk mengesahkan beberapa ciri baharu yang akan dilancarkan dalam beberapa minggu akan datang:
Ciri-ciri ini akan dilancarkan kepada pengguna dalam beberapa minggu akan datang, dalam versi WhatsApp yang terbaharu.