17 April 2023
Apabila kami berkongsi perkara yang kami usahakan di sini, pada kebiasaannya adalah mengenai ciri atau produk baharu yang kami bangunkan. Hari ini kami menulis tentang perkembangan yang membimbangkan di United Kingdom yang semua orang perlu tahu.
Kerajaan UK sedang mempertimbangkan undang-undang baharu yang membuka pintu untuk cuba memaksa syarikat teknologi memecahkan penyulitan hujung ke hujung pada perkhidmatan pemesejan persendirian. Undang-undang tersebut memberikan kuasa kepada pegawai yang bukan dipilih untuk melemahkan privasi berbilion orang di seluruh dunia.
Kami rasa tiada mana-mana syarikat, kerajaan atau orang yang harus diberikan kuasa untuk membaca mesej peribadi anda dan kami akan terus mempertahankan teknologi penyulitan ini. Kami berbangga untuk berdiri bersama syarikat teknologi lain dalam industri untuk kami menolak bahagian yang bertentangan dengan undang-undang ini yang akan menjadikan orang ramai di UK dan di seluruh dunia kurang selamat.
—
Kepada sesiapa sahaja yang mementingkan keselamatan dan privasi di internet.
Sebagai perkhidmatan komunikasi yang disulitkan hujung ke hujung, kami menggesa Kerajaan UK menangani risiko yang ditimbulkan oleh Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian kepada privasi dan keselamatan semua orang. Masih belum terlambat untuk memastikan Rang Undang-undang itu sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk melindungi penyulitan hujung ke hujung dan menghormati hak privasi manusia.
Di seluruh dunia, perniagaan, individu dan kerajaan menghadapi ancaman berterusan daripada tipu daya dalam talian, penipuan dan kecurian data. Penjenayah dan negara bermusuhan secara rutin mencabar keselamatan infrastruktur penting kami. Penyulitan hujung-ke-hujung adalah salah satu pertahanan yang paling kukuh terhadap ancaman ini dan apabila institusi penting semakin bergantung pada teknologi internet untuk menjalankan operasi teras, risikonya harus menjadi rendah.
Seperti yang digubal pada masa ini, Rang Undang-undang itu boleh memecahkan penyulitan hujung ke hujung, membuka pintu kepada pengawasan rutin, umum dan sembarangan terhadap mesej peribadi rakan, ahli keluarga, pekerja, eksekutif, wartawan, aktivis hak asasi manusia dan juga ahli politik itu sendiri, yang akan secara asasnya menjejaskan keupayaan setiap orang untuk berkomunikasi dengan selamat.
Rang Undang-undang tidak memberikan perlindungan yang jelas untuk penyulitan dan jika dilaksanakan seperti yang tertulis, boleh memberi kuasa kepada OFCOM untuk cuba memaksa pengimbasan proaktif mesej peribadi pada perkhidmatan komunikasi yang disulitkan hujung ke hujung - membatalkan tujuan penyulitan hujung ke hujung sebagai akibat dan menjejaskan privasi semua pengguna.
Ringkasnya, Rang Undang-undang tersebut menimbulkan ancaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap privasi, keselamatan dan jaminan setiap warga UK dan orang yang berkomunikasi dengan mereka di seluruh dunia, sambil mendorong kemungkinan kerajaan yang bermusuhan untuk berusaha untuk merangka undang-undang yang sama.
Penyokong mengatakan bahawa mereka menghargai kepentingan penyulitan dan privasi sambil mendakwa bahawa pengawasan terhadap mesej semua orang dapat dilakukan tanpa menjejaskan penyulitan hujung ke hujung. Hakikatnya adalah bahawa perkara ini tidak mungkin terjadi.
Kami bukan satu-satunya entiti yang berkongsi kebimbangan mengenai Rang Undang-undang UK. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa usaha Kerajaan UK untuk mengenakan syarat pintu belakang mampu membentuk "perubahan paradigma yang menimbulkan pelbagai masalah serius dengan akibat yang mengerikan".
Malah Kerajaan UK sendiri telah mengakui bahawa risiko privasi yang ditimbulkan oleh teks Rang Undang-undang tersebut, tetapi telah mengatakan "niat"nya bukan untuk Rang Undang-undang itu ditafsirkan dengan cara seperti ini.
Pembekal global produk dan perkhidmatan yang disulitkan hujung ke hujung tidak boleh melemahkan keselamatan produk dan perkhidmatan mereka agar sesuai dengan kerajaan masing-masing. Tidak boleh ada "internet British," atau versi penyulitan hujung ke hujung yang khusus untuk UK.
Kerajaan UK mesti memikirkan semula Rang Undang-undang dengan segera, membuat semakan untuk menggalakkan syarikat menawarkan lebih privasi dan keselamatan kepada para penduduk, bukan sebaliknya. Melemahkan penyulitan, menjejaskan privasi dan memperkenalkan pengawasan besar-besaran terhadap komunikasi persendirian orang ramai bukanlah cara untuk maju ke hadapan.
Ditandatangani oleh mereka yang mengambil berat untuk memastikan perbualan kita selamat:
Matthew Hodgson, Ketua Pegawai Eksekutif, Element
Alex Linton, Pengarah, OPTF/Session
Meredith Whittaker, Presiden, Signal
Martin Blatter, Ketua Pegawai Eksekutif, Threema
Ofir Eyal, Ketua Pegawai Eksekutif, Viber
Will Cathcart, Ketua Jabatan WhatsApp di Meta
Alan Duric, Ketua Pegawai Teknologi, Wire