8 Jun 2023
Hari ini kami teruja untuk memperkenalkan Saluran: cara yang mudah, boleh dipercayai dan peribadi untuk menerima kemas kini penting daripada orang dan organisasi, terus dalam WhatsApp. Kami sedang membina Saluran dalam tab baharu yang digelar Kemas Kini - iaitu ruang anda akan menemukan Status dan saluran yang anda pilih untuk ikuti - berasingan daripada sembang anda dengan keluarga, rakan dan komuniti.
Saluran ialah alat siaran sehala untuk pentadbir menghantar teks, foto, video, pelekat dan tinjauan. Untuk membantu anda memilih saluran untuk diikuti, kami sedang membina direktori yang boleh dicari yang membolehkan anda menemukan hobi, pasukan sukan, kemas kini daripada pegawai tempatan dan banyak lagi. Anda juga boleh pergi ke saluran daripada pautan jemputan yang dihantar dalam sembang, e-mel atau disiarkan dalam talian.
Kami bercita-cita untuk membina perkhidmatan penyiaran paling peribadi yang tersedia. Langkah ini bermula dengan melindungi maklumat peribadi kedua-dua pentadbir dan pengikut. Sebagai pentadbir saluran, nombor telefon dan foto profil anda tidak akan dipaparkan kepada pengikut. Begitu juga, tindakan mengikuti saluran tidak akan mendedahkan nombor telefon anda kepada pentadbir atau pengikut lain. Orang yang anda pilih untuk ikuti ialah pilihan anda dan bersifat persendirian.
Sama seperti cara kami membina pemesejan, kami percaya bahawa kemas kini Saluran tidak perlu dikekalkan. Jadi kami hanya akan menyimpan sejarah saluran pada pelayan kami selama 30 hari dan kami akan menambah cara supaya kemas kini menghilang dengan lebih pantas daripada peranti pengikut. Pentadbir turut akan mempunyai pilihan untuk menyekat tangkapan skrin dan pemajuan daripada saluran mereka.
Akhir sekali, kami akan membolehkan pentadbir memutuskan orang yang dapat mengikuti saluran mereka dan sama ada mereka menghendaki saluran mereka boleh ditemukan dalam direktori ataupun tidak. Memandangkan matlamat Saluran adalah untuk mencapai khalayak yang luas, maka saluran tidak disulitkan hujung ke hujung secara lalai. Kami berpendapat mungkin ada beberapa kes saluran yang disulitkan dari hujung ke hujung kepada khalayak terhad yang mungkin wajar, seperti organisasi tanpa untung atau kesihatan dan kami juga sedang meneroka ini sebagai pilihan masa hadapan.
Untuk memulakan Saluran, kami teruja untuk bekerjasama dengan tokoh global terkemuka dan organisasi terpilih di Colombia dan Singapura, iaitu tempat Saluran akan tersedia untuk kali pertama, bagi membina, mempelajari dan menyesuaikan pengalaman. Kami akan membawa Saluran ke lebih banyak negara dan keupayaan untuk sesiapa sahaja mencipta saluran dalam beberapa bulan akan datang.
Kami juga percaya terdapat peluang untuk menyokong pentadbir dengan menyediakan laluan untuk mereka membina perniagaan pada saluran mereka menggunakan perkhidmatan pembayaran kami yang sentiasa berkembang serta keupayaan untuk mempromosikan saluran tertentu dalam direktori bagi meningkatkan kesedaran.
Secara umum, pemesejan persendirian dalam kalangan rakan, keluarga dan komuniti akan terus menjadi cara orang ramai menggunakan WhatsApp dan itu akan sentiasa menjadi keutamaan kami. Pembinaan saluran merupakan langkah besar yang diminta oleh pengguna kami untuk dilaksanakan selama bertahun-tahun. Kami berpendapat sudah tiba masanya untuk memperkenalkan alat penyiaran yang ringkas, boleh dipercayai dan persendirian dan kami berharap anda menikmati penggunaan ciri ini pada bulan dan tahun akan datang.