20 Jun 2023
Usaha melindungi privasi mesej anda kekal sebagai pemacu di sebalik ciri yang kami bangunkan di WhatsApp. Walaupun Penyulitan hujung ke hujung ialah asas untuk memastikan panggilan dan mesej anda selamat, kami terus menambah lebih banyak lapisan privasi termasuk Kunci Sembang yang dilancarkan baru-baru ini bagi melindungi sembang sensitif di sebalik kata laluan, Mesej Menghilang yang lenyap, penyekatan tangkapan skrin untuk Lihat Sekali, serta keupayaan untuk memastikan kerahsiaan kehadiran dalam talian anda.
Hari ini, kami teruja untuk menambah dua kemas kini baharu pada senarai yang semakin bertambah ini: Senyapkan Pemanggil Tidak Diketahui dan Semakan Privasi, yang kini tersedia kepada pengguna.
Senyapkan Pemanggil Tidak Diketahui dibuat untuk memberi anda privasi dan kawalan sepenuhnya ke atas panggilan masuk anda. Ciri ini membantu penyaringan spam, komplot penipuan dan panggilan secara automatik daripada orang yang tidak dikenali bagi meningkatkan perlindungan. Panggilan ini tidak akan berdering pada telefon anda, tetapi akan kelihatan dalam senarai Panggilan anda, sekiranya panggilan itu daripada seseorang yang penting.
Untuk menghebahkan usaha ini, kami memperkenalkan Semakan Privasi bagi memastikan semua orang tahu tentang pilihan perlindungan di WhatsApp.
Ciri langkah demi langkah ini membimbing anda tentang tetapan privasi yang penting untuk membantu anda memilih tahap perlindungan yang betul, semuanya di satu tempat. Langkah memilih 'Mulakan semakan' dalam tetapan Privasi anda akan membawa anda meneliti berbilang lapisan privasi yang mengukuhkan keselamatan mesej, panggilan dan maklumat peribadi anda.
Langkah melindungi komunikasi peribadi anda adalah penting kerana kami tahu setiap orang memerlukan ruang yang selamat untuk berkomunikasi. Kami membawa mesej ini ke seluruh dunia melalui cara baharu untuk menyampaikan sebab ciri ini sangat penting. Mulai minggu ini, kami menggalakkan agar orang ramai saling bertanya khabar dengan selamat menerusi mesej peribadi supaya rakan dan orang tersayang tahu bahawa mereka mempunyai ruang yang selamat untuk meluahkan perasaan.