17 November 2022
Hari ini kami berkongsi kemas kini tentang perkara yang kami bina untuk membantu orang ramai mencari, menghantar mesej dan membeli sesuatu daripada perniagaan di WhatsApp. Pasukan kami berada di Brazil hari ini bagi membincangkan visi kami untuk membawa keseluruhan pengalaman beli-belah secara terus pada sembang WhatsApp.
Orang ramai mahukan cara yang mudah untuk mendapatkan bantuan dengan cepat daripada berjuta-juta perniagaan kecil dan berpuluh-puluh ribu jenama yang sudah berada di WhatsApp. Hari ini kami melancarkan keupayaan untuk mencari perniagaan terus di WhatsApp supaya orang ramai kini boleh melayari perniagaan mengikut kategori – seperti kembara atau perbankan – atau mencari mengikut nama perniagaan. Dengan ini, orang ramai tidak perlu mencari nombor telefon di luar laman web atau menaip nombor ke dalam kenalan mereka.
Kami telah membina carian perniagaan dengan cara yang memelihara privasi orang ramai. Perkara yang anda cari diproses dengan cara yang tidak boleh dipautkan kembali kepada akaun anda. Sebagai permulaan, kami membawa keupayaan untuk mencari perniagaan ke Brazil, Colombia, Indonesia, Mexico dan UK agar orang ramai boleh mencari syarikat menggunakan Platform WhatsApp Business kami. Di Brazil, carian akan membantu orang ramai mencari perniagaan kecil juga.
Memandangkan lebih banyak perniagaan menggunakan WhatsApp, prinsip pertama kami tetap sama, iaitu memastikan orang ramai mengawal perbualan mereka. Pelaksanaan prinsip ini dengan sempurna adalah penting untuk WhatsApp, begitu juga untuk orang dan perniagaan yang bergantung pada kami. Beberapa perniagaan baru-baru ini yang telah menyertai WhatsApp membantu orang ramai membuka akaun bank, membeli tiket metro mereka dan memesan barangan runcit.
Akhirnya, kami mahu orang ramai dapat membuat pembayaran yang selamat terus daripada sembang menggunakan kad kredit atau debit mereka. Baru-baru ini, kami melancarkan pengalaman ini di India dan kami teruja untuk menguji ini di Brazil dengan pelbagai rakan kongsi pembayaran. Pengalaman pembayaran yang lancar ini akan menjadi pencetus perubahan untuk orang dan perniagaan yang ingin membeli dan menjual di WhatsApp tanpa perlu pergi ke laman web, membuka aplikasi lain atau membayar sendiri.
Pengalaman baharu ini ialah aspek yang menjadikan WhatsApp sebagai cara terbaik untuk orang ramai berhubung dengan perniagaan kegemaran mereka. Kami mengharapkan maklum balas anda.