1 Oktober 2024

Perbualan pada WhatsApp haruslah sentiasa menyeronokkan dan ekspresif, dan hari ini, kami melancarkan penapis dan latar belakang untuk menjadikan panggilan video anda lebih menarik. Dengan kesan baharu ini, anda kini boleh menukar latar belakang anda atau menambahkan penapis semasa dalam panggilan video untuk mendapatkan sentuhan yang lebih peribadi.
Penapis direka untuk membantu anda mencipta suasana yang menghiburkan, sama ada dengan menambahkan percikan warna atau mewujudkan perasaan yang lebih artistik untuk video anda. Dengan latar belakang, anda boleh menjadikan persekitaran anda peribadi serta membayangkan diri anda di kedai kopi yang nyaman atau ruang tamu yang selesa untuk kelihatan lebih kemas dan rapi.
Dengan 10 penapis dan 10 latar belakang untuk dipilih, anda boleh memilih dan mencampurkan pelbagai pilihan untuk mencipta rupa yang unik. Pilihan penapis termasuk Hangat, Sejuk, Hitam & Putih, Pancaran cahaya tipis, Khayalan, Cahaya prisma, Mata ikan, TV vintaj, Kaca berkabut dan Ton pasangan. Pilihan latar belakang termasuk Kabur, Ruang tamu, Pejabat, Kafe, Batu kerikil, Penggemar makanan, Lumur, Pantai, Senja, Perayaan dan Hutan.
Kami juga menambahkan pilihan Kemaskan dan Cahaya Rendah yang boleh membantu anda berasa lebih yakin dan selesa dengan meningkatkan rupa dan kecerahan persekitaran anda secara semula jadi, sekali gus menjadikan panggilan video anda lebih meriah dan menyeronokkan.
Untuk mengakses pilihan ini semasa dalam panggilan video 1:1 atau panggilan video kumpulan, pilih ikon kesan pada bahagian atas sebelah kanan skrin untuk melihat pilihan penapis dan latar belakang serta pilih penapis dan latar belakang yang sepadan dengan perasaan anda.
Kesan ini akan tersedia kepada semua orang dalam beberapa minggu akan datang.