6 Disember 2021
Misi kami ialah untuk menghubungkan dunia secara peribadi. Semakin banyak perbincangan kita bertukar daripada bersemuka kepada digital, kita mengakui bahawa wujudnya keajaiban tertentu apabila kita duduk bersembang dengan seseorang secara bersemuka, berkongsi fikiran dengan yakin, dan menyedari bahawa anda berdua berbicara secara peribadi dan hadir dalam detik itu. Kebebasan untuk bersikap jujur dan terbuka, maklum bahawa perbualan tidak dirakam atau tersimpan di suatu tempat selama-lamanya.
Menentukan tempoh sesuatu mesej seharusnya terletak di tangan anda. Telah menjadi kebiasaan kepada kita untuk meninggalkan salinan digital tentang segala yang kita taipkan tanpa kita menghiraukannya. Perkara ini seolah-olah menyamai penulis nota yang mengekori kita ke mana-mana sahaja, mencatatkan rekod kekal tentang segala yang telah kita ucapkan. Sebab itu kami memperkenalkan mesej menghilang tahun lepas, dan baru-baru ini, cara untuk foto dan video menghilang sebaik sahaja ia dilihat sekali.
Hari ini kami teruja untuk menyediakan kepada pengguna kami pilihan lanjut untuk mengawal mesej mereka dan tempoh masa mesej tersebut akan kekal, dengan mesej menghilang lalai dan tempoh masa berbilang.
Pengguna WhatsApp kini mempunyai pilihan untuk mendayakan mesej menghilang secara lalai bagi semua sembang baharu. Apabila didayakan, semua sembang satu dengan satu yang anda atau orang lain mulakan akan ditetapkan untuk menghilang mengikut tempoh yang anda pilih, dan kami telah sertakan pilihan baharu apabila sembang kumpulan dicipta, ia membolehkan anda mendayakan ciri tersebut bagi kumpulan-kumpulan yang anda cipta. Ciri baharu ini ialah pilihan dan tidak akan mengubah atau memadamkan mana-mana sembang anda yang sedia ada.
Kami juga akan menambahkan dua tempoh masa baharu bagi mesej menghilang: 24 jam dan 90 hari, di samping pilihan sedia ada iaitu 7 hari.
Bagi mereka yang memilih untuk mendayakan mesej menghilang lalai, kami akan paparkan mesej dalam sembang anda yang memberitahu orang bahawa ini merupakan pilihan lalai yang anda telah pilih. Perkara ini akan menjelaskan bahawa tindakan ini bukanlah berbentuk peribadi - Ia merupakan cara yang anda pilih untuk berkomunikasi dengan semua orang di WhatsApp selepas ini. Walaupun begitu, sekiranya anda perlu mengekalkan sesuatu perbualan, mudah saja untuk anda menukar kembali sesuatu sembang.
Hidup berjauhan daripada keluarga dan sahabat handai selama lebih setahun telah menjelaskan bahawa walaupun kita tidak dapat bercakap secara bersemuka, tidak semestinya kita harus korbankan privasi perbualan peribadi kita. Kami percayai bahawa mesej menghilang berserta dengan penyulitan hujung ke hujung merupakan dua ciri penting yang menentukan erti kata perkhidmatan pemesejan peribadi hari ini, dan membawa kami selangkah lebih dekat kepada penghayatan perbualan secara peribadi.
Untuk memulakan, pergi ke tetapan Privasi dan pilih 'Pemasa Mesej Lalai'. Anda boleh ketahui dengan lebih lanjut di sini.