18 Jun 2012
Brian dan saya menghabiskan masa selama 20 tahun di Yahoo!, bekerja keras untuk memastikan laman tersebut berfungsi. Ya, berusaha sedaya upaya untuk menjual iklan, kerana itulah yang Yahoo! lakukan. Wadah ini mengumpul data dan mengendalikan halaman serta menjual iklan.
Kami menyaksikan Yahoo! tewas dari segi saiz dan capaian kepada Google... iaitu penjual iklan yang lebih cekap dan lebih menguntungkan. Mereka tahu perkara yang anda cari, jadi mereka boleh mengumpulkan data anda dengan lebih cekap dan menjual iklan yang lebih baik.
Syarikat pada zaman ini mengetahui segala perkara tentang anda, rakan anda, minat anda dan mereka menggunakan semua maklumat ini untuk menjual iklan.
Apabila kami merancang usaha kami tiga tahun lalu, kami ingin menghasilkan gedung pengendalian iklan yang lain daripada yang lain. Kami ingin meluangkan masa membangunkan satu perkhidmatan yang ingin digunakan oleh orang ramai atas keberkesanan dan keupayaan perkhidmatan itu dalam menjimatkan wang mereka serta menjadikan kehidupan mereka lebih baik dengan cara yang mudah. Kami tahu bahawa kami boleh mengenakan caj kepada orang ramai secara langsung jika kami boleh merealisasikan semua usaha itu. Kami tahu kami boleh melaksanakan usaha yang menjadi harapan orang ramai setiap hari: mengelakkan diri daripada iklan.
Tiada sesiapa pun yang teruja menonton banyak iklan atau memikirkan iklan yang akan mereka akan tonton. Kami tahu orang ramai berasa bahagia memikirkan orang yang bersembang dengan mereka pada hari itu. Kami berhasrat untuk menjadikan WhatsApp suatu produk yang membuatkan anda berjaga... dan yang anda capai pada waktu pagi. Tiada sesiapa pun yang bangkit daripada tidur dan berkobar-kobar untuk menonton iklan.
Pengiklanan bukan sekadar merosakkan nilai estetika, bahkan menghina kecerdasan anda dan mengganggu aliran pemikiran anda. Di setiap syarikat yang menjual iklan, sebahagian besar pasukan kejuruteraan mereka menghabiskan masa mereka untuk melaraskan perlombongan data, menulis kod yang lebih baik untuk mengumpul semua data peribadi anda, menaik taraf pelayan yang menyimpan semua data dan memastikan kesemua maklumat itu dilog dan dikumpul serta dipisahkan, dihimpunkan serta dihantar... Pada penghujung hari, hasilnya ialah sepanduk pengiklanan yang sedikit berbeza dalam pelayar anda atau pada skrin mudah alih anda.
Ingat bahawa dalam hal yang melibatkan pengiklanan, anda selaku pengguna ialah produk.
Di WhatsApp, jurutera kami meluangkan masa mereka untuk membetulkan pepijat, menambah ciri baharu dan menyelesaikan segala kerumitan tugasan kami untuk membawa pemesejan yang beraneka, berpatutan dan boleh dipercayai ke setiap telefon di dunia. Itulah produk dan nyala rasa kami. Data anda tidak disertakan. Kami langsung tidak berminat terhadap perkara itu.
Apabila orang ramai bertanya kepada kami sebab kami mengenakan caj untuk WhatsApp, kami berkata "Sudahkah anda mempertimbangkan alternatif itu?"