5 September 2017
Lebih 1 bilion orang menggunakan WhatsApp setiap hari untuk saling berhubung dengan keluarga serta rakan mereka dan dari semasa ke semasa, lebih ramai orang menggunakan aplikasi ini untuk berkomunikasi dengan perniagaan yang juga penting bagi mereka. Malah, terdapat banyak jalinan hubungan setiap hari, sama ada seseorang membuat pesanan dengan kedai roti tempatan atau melihat gaya baharu dari kedai pakaian. Tetapi cara semua ini berlaku sekarang di WhatsApp agak asas. Kami telah mendengar cerita tentang pekedai yang menggunakan WhatsApp untuk saling berhubung dengan ratusan pelanggan melalui satu telefon pintar dan daripada orang yang tidak pasti sama ada perniagaan di WhatsApp itu sahih atau tidak. Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan menguji ciri baharu yang bertujuan untuk menyelesaikan beberapa cabaran ini dan memudahkan orang ramai berkomunikasi dengan perniagaan yang ingin mereka hubungi di WhatsApp. Pendekatan kami adalah mudah – kami ingin menerapkan perkara yang telah kami pelajari untuk membantu setiap insan berhubung antara satu sama lain bagi membantu orang ramai berhubung dengan perniagaan yang penting bagi mereka.
Kami tahu perniagaan mempunyai banyak keperluan yang berbeza. Sebagai contoh, mereka menginginkan kehadiran rasmi – iaitu profil ditentusahkan supaya orang ramai boleh mengenal pasti perniagaan daripada orang lain – dan cara yang lebih mudah untuk membalas mesej. Kami sedang membangunkan dan menguji alat baharu menerusi aplikasi WhatsApp Business percuma untuk syarikat kecil dan penyelesaian perusahaan bagi syarikat yang lebih besar yang beroperasi pada skala besar dengan pangkalan pelanggan global, seperti syarikat penerbangan, laman e-dagang dan bank. Perniagaan ini akan dapat menggunakan penyelesaian kami untuk menyediakan pelanggan dengan maklumat yang berguna seperti masa penerbangan, pengesahan penghantaran dan pengemaskinian lain.
Sama ada seseorang berkomunikasi dengan perniagaan di kawasan berhampiran atau di seluruh dunia, orang ramai mengharapkan ciri WhatsApp pantas, boleh dipercayai dan selamat. Kami akan mendengar maklum balas dengan teliti semasa fasa ujian kami dan memastikan orang ramai mendapat maklumat semasa kami menyediakan alat ini dengan lebih meluas. Penting untuk kami melakukan perkara ini dengan betul dan meneliti pengalaman baharu yang akan kami sediakan kepada perniagaan serta pengguna kami. Untuk mengetahui maklumat lanjut, sila baca Soalan Lazim ini.